GUA MUSANG, Nov 12 ― Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara perlu mematuhi syarat yang akan ditetapkan apabila mereka dibenar aktif berpolitik dalam kem, mulai tahun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata kepatuhan syarat itu penting bagi menjaga keharmonian mereka dan menjunjung kedaulatan negara.
“Kebenaran pelatih aktif berpolitik itu menunjukkan perkembangan terbaharu dan terbaik dalam mengembangkan ilmu kepolitikan dalam kem PLKN, tetapi ia perlu akur kepada peraturan ditetapkan.
“Kita mahu setiap pelatih ada kehormatan di samping memilih pemimpin di kalangan mereka yang ada kebijaksanaannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Ramah Mesra dengan pelatih PLKN di Kem Etnobotani di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Datuk Dr Tiki Lafe semalam yang mengumumkan pelatih di semua kem PLKN akan dibenar aktif berpolitik sepanjang menjalani latihan tiga bulan itu, mulai tahun hadapan.
Abdul Hadi berkata kempen politik itu hanya membabitkan kawasan dalam kem bagi mereka memilih pemimpin, sebagaimana yang dilakukan penuntut universiti. ― Bernama